Saturday, September 13, 2008

Menguasai Bahasa Inggeris Dengan Mudah & Berkesan

Kaedah 'Gunakan Ia'

Ramai antara kita mempunyai masalah hendak menguasai Bahasa Inggeris. Ada berbagai - bagai cara dan pendekatan bagi menguasai dan mempelajarinya dengan cepat dan berkesan. Antara kaedahnya yang berkesan adalah 'Gunakan Ia'. Kaedah ini dapat meningkatkan kemahiran bertutur, mendengar, membaca dan menulis dalam Bahasa Inggeris. Konsep dan kaedah ini bermula dengan bertutur, mendengar, membaca dan menulis dalam Bahasa Inggeris pada setiap waktu. Ini bermakna kita mempelajari bahasa kedua ini seperti kita mempelajari bahasa ibunda. Andaikan dahulu kita tidak menggunakan bahasa ibunda setiap waktu, mungkinkah dapat kita menguasai bahasa itu? Jawapannya tentu sekali 'TIDAK'.

Sebagai contoh, anak keturunan Melayu yang dilahirkan di England, mereka diberikan pendedahan oleh kedua ibu bapa mereka dengan bertutur dalam Bahasa Inggeris dan bukannya Bahasa Melayu. Anak ini pasti mahir menggunakan Bahasa Inggeris yang selalu diamalkan pada setiap waktu. Dalam waktu yang singkat sahaja, bahasa ini dapat dikuasai dengan mudah.

Satu lagi cara yang dapat membantu kita menguasai bahasa kedua ini dengan mudah dan berkesan adalah dengan cuba bertutur dalam Bahasa Inggeris. Apabila kita menggunakan bahasa ini dan terdapat pula kesilapan bahasa sama ada sebutan, tatabahasa ataupun struktur ayatnya, pendengar dapat memperbaiki dan memperbetulkannya. Di sini menunjukkan pentinya mengapa kita perlu cuba menggunakan Bahasa Inggeris dalam pertuturan.

Konsep membetulkan kesilapan berbahasa antara budaya orang kita dengan orang Inggeris jauh berbeza. Orang yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua biasanya melakukan kesilapan dalam menggunakannya. Tetapi, kita tidak pula cuba membetulkkan kesilapan itu, sebaliknya turut menggunakan Bahasa Melayu yang salah. Sebagai contoh, apabila ada orang bertanya, "Lu mau pegi mana?". Kita biasanya membiarkan bahasanya salah, dan kita kukuhkan lagi kesalahan itu dengan menjawab, "Gua mau pegi pejabat." Di sini bermulanya kelahiran bahasa Melayu pasar iaitu satu masalah yang sukar di atasi oleh kebanyakan orang yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua mereka.

Selain daripada itu, antara faktor yang dapat membantu kita menguasai Bahasa Inggeris dengan mudah dan berkesan adalah dengan membaca bahan bacaan dalam bahasa Inggeris, seperti surat khabar, majalah, buku - buku teks, artikel - artikel dan sebagainya. Aktiviti ini bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan kita berbahasa Inggeris, malah kita dapat meningkatkan dan membanyakkan ilmu pengetahuan am di samping bertungkus - lumus mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Tinggalkan sementara waktu untuk memenuhi hobi dan membaca novel ataupun cerpen yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Masa yang berharga terlepas begitu sahaja apabila kita tidak bertungkus - lumus dalam menguasai Bahasa Inggeris bermula dari sekarang. Sekiranya kita terlalu meminati bidang kesusteraan Melayu moden, teruskan cita - cita murni ini selepas kita dapat menguasai Bahasa Inggeris. Dalam kesuntukan masa sekarang, kita perlu memberikan keutamaan menguasai Bahasa Inggeris. Apabila kita dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, proses mencari pekerjaan menjadi mudah.

Bagi mendapatkan informasi, hiburan, nilai seni ataupun sebagainya, semua ini boleh didapati dalam bahan - bahan bacaan berbahasa Inggeris, contohnya surat khabar, majalah, novel, internet, buku - buku rujukan dan sebagainya. Dalam kesuntukkan masa kita menimba ilmu pengetahuan dan menguasai Bahasa Inggeris dengan berkesan, gunakan serampang dua mata. Laksanakan satu aktiviti tetapi mendapat faedah yang berganda. Ini dapat dilakukan apabila kita membaca bagi mencari ilmu pengetahuan dengan mencari bahan - bahan rujukan dalam Bahasa Inggeris.

Sebenarnya, jika anda mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, anda berpotensi untuk menterjemahkan kebanyakan buku / buku digital yang berbahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Ini akan memberi pendapatan tambahan jika anda serius.

Monday, June 23, 2008

Mengenal Pasti Bidang Pekerjaan Yang Sesuai

Kita tentunya pernah diajukan dengan soalan, "Bila sudah tamat belajar nanti, anda hendak jadi apa?" Sipenanya soalan itu mungkin orang yang ada hubungan rapat dengan diri kita, guru kita ataupun rakan seangkatan dengan kita.

Bagi menjawab soalan itu dengan tepat sebenarnya sukar. Antara perkara yang mempengaruhi pertimbangan dalam memilih pekerjaan selepas tamat belajar adalah :-
  1. Perkembangan teknologi yang semakin canggih.
  2. Cabaran dalam dunia pekerjaan.
  3. Tuntutan kehidupan yang mencabar dan semakin meningkat.
Mungkin kita sudah menyimpan cita - cita bagi mendapatkan pekerjaan dan sudah pun mula membuat persediaan yang baik bagi mencapai cita - cita itu. Persoalannya, adakah semua persediaan dan perancangan yang kita buat itu sudah mencukupi bagi mendapatkan pekerjaan yang kita idamkan itu?

Sebenar kita masih ragu hendak mengatakan 'Ya' pada soalan yang kita ajukan tadi. Antara persoalan lain yang perlu dipertimbangkan adalah, "Betulkah anda benar - benar meminati bidang pekerjaan itu?"

Dalam keadaan begini, kita sebenarnya tidak bersendirian. Semua orang yang masih belum mempunyai pekerjaan menghadapi dilema dalam memilih bidang pekerjaan yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka. Mereka juga tidak tahu apakah peluang - peluang pekerjaan yang ada untuk dipohon.

Sebenarnya kita tidak perlu risau dengan situasi ini. Perbincangan selanjutnya dalam bab ini dapat membantu kita membuat pendirian yang mantap berkaitan bidang pekerjaan yang akan kita pilih selepas tamat belajar. Pada masa ini, tumpukanlah masa dan usaha untuk terus belajar dengan gigih dan lulus dalam semua ujian dan peperiksaan dengan cemerlang. Walaupun kita memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran, kita tidak dapat lari daripada memikirkan pekerjaan yang dapat menjamin kehidupan kita dan sesuai dengan jiwa kita.

Sekiranya kita seorang pelajar universiti dan mengambil jurusan sains sosial ataupun bidang agama Islam sebagai bidang pengajian utama, kita tentunya diminta mengambil satu lagi bidang pengajian minor. Bagi memilih pengajian minor, pilih salah satu bidang pengajian yang diperlukan oleh dunia pekerjaan sekarang seperti bidang IT, akaun, pengurusan perniagaan, syariah, ekonomi dan muamalat, sains aktuari dan sebagainya.

Bagi memantapkan persediaan untuk berjaya mendapatkan pekerjaan, kita perlu menguasai bahasa kedua, iaitu bahasa Inggeris. Ramai antara kita percaya bahasa Inggeris sukar hendak dikuasai. Sebenarnya ia mudah serta seronok apabila kita benar - benar ingin menguasainya. Apa yang perlu kita lakukan supaya pandai dan mahir berbahasa Inggeris adalah bulatkan tekad bagi menguasai bahasa ini.