Saturday, September 13, 2008

Menguasai Bahasa Inggeris Dengan Mudah & Berkesan

Kaedah 'Gunakan Ia'

Ramai antara kita mempunyai masalah hendak menguasai Bahasa Inggeris. Ada berbagai - bagai cara dan pendekatan bagi menguasai dan mempelajarinya dengan cepat dan berkesan. Antara kaedahnya yang berkesan adalah 'Gunakan Ia'. Kaedah ini dapat meningkatkan kemahiran bertutur, mendengar, membaca dan menulis dalam Bahasa Inggeris. Konsep dan kaedah ini bermula dengan bertutur, mendengar, membaca dan menulis dalam Bahasa Inggeris pada setiap waktu. Ini bermakna kita mempelajari bahasa kedua ini seperti kita mempelajari bahasa ibunda. Andaikan dahulu kita tidak menggunakan bahasa ibunda setiap waktu, mungkinkah dapat kita menguasai bahasa itu? Jawapannya tentu sekali 'TIDAK'.

Sebagai contoh, anak keturunan Melayu yang dilahirkan di England, mereka diberikan pendedahan oleh kedua ibu bapa mereka dengan bertutur dalam Bahasa Inggeris dan bukannya Bahasa Melayu. Anak ini pasti mahir menggunakan Bahasa Inggeris yang selalu diamalkan pada setiap waktu. Dalam waktu yang singkat sahaja, bahasa ini dapat dikuasai dengan mudah.

Satu lagi cara yang dapat membantu kita menguasai bahasa kedua ini dengan mudah dan berkesan adalah dengan cuba bertutur dalam Bahasa Inggeris. Apabila kita menggunakan bahasa ini dan terdapat pula kesilapan bahasa sama ada sebutan, tatabahasa ataupun struktur ayatnya, pendengar dapat memperbaiki dan memperbetulkannya. Di sini menunjukkan pentinya mengapa kita perlu cuba menggunakan Bahasa Inggeris dalam pertuturan.

Konsep membetulkan kesilapan berbahasa antara budaya orang kita dengan orang Inggeris jauh berbeza. Orang yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua biasanya melakukan kesilapan dalam menggunakannya. Tetapi, kita tidak pula cuba membetulkkan kesilapan itu, sebaliknya turut menggunakan Bahasa Melayu yang salah. Sebagai contoh, apabila ada orang bertanya, "Lu mau pegi mana?". Kita biasanya membiarkan bahasanya salah, dan kita kukuhkan lagi kesalahan itu dengan menjawab, "Gua mau pegi pejabat." Di sini bermulanya kelahiran bahasa Melayu pasar iaitu satu masalah yang sukar di atasi oleh kebanyakan orang yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua mereka.

Selain daripada itu, antara faktor yang dapat membantu kita menguasai Bahasa Inggeris dengan mudah dan berkesan adalah dengan membaca bahan bacaan dalam bahasa Inggeris, seperti surat khabar, majalah, buku - buku teks, artikel - artikel dan sebagainya. Aktiviti ini bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan kita berbahasa Inggeris, malah kita dapat meningkatkan dan membanyakkan ilmu pengetahuan am di samping bertungkus - lumus mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Tinggalkan sementara waktu untuk memenuhi hobi dan membaca novel ataupun cerpen yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Masa yang berharga terlepas begitu sahaja apabila kita tidak bertungkus - lumus dalam menguasai Bahasa Inggeris bermula dari sekarang. Sekiranya kita terlalu meminati bidang kesusteraan Melayu moden, teruskan cita - cita murni ini selepas kita dapat menguasai Bahasa Inggeris. Dalam kesuntukan masa sekarang, kita perlu memberikan keutamaan menguasai Bahasa Inggeris. Apabila kita dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, proses mencari pekerjaan menjadi mudah.

Bagi mendapatkan informasi, hiburan, nilai seni ataupun sebagainya, semua ini boleh didapati dalam bahan - bahan bacaan berbahasa Inggeris, contohnya surat khabar, majalah, novel, internet, buku - buku rujukan dan sebagainya. Dalam kesuntukkan masa kita menimba ilmu pengetahuan dan menguasai Bahasa Inggeris dengan berkesan, gunakan serampang dua mata. Laksanakan satu aktiviti tetapi mendapat faedah yang berganda. Ini dapat dilakukan apabila kita membaca bagi mencari ilmu pengetahuan dengan mencari bahan - bahan rujukan dalam Bahasa Inggeris.

Sebenarnya, jika anda mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, anda berpotensi untuk menterjemahkan kebanyakan buku / buku digital yang berbahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Ini akan memberi pendapatan tambahan jika anda serius.

No comments: